Romansa Seorang Tua Di Perkebunan Revolusi

Barangkali rentetan demi rentetan di sebuah negara yang penuh kebobrokkan mendesak keresahan sisa umurnya untuk tidak mendiamkan kejelekkan para penguasa.

Dengan pelbagai unjuk rasa seperti PPSMI di tahun 2009 hingga ke Bersih 5 pada 2016 yang baru-baru ini, lantas membuatkan gelojak jiwanya semakin membuak, berbusa-busa lalu menjadikannya sebuah amarah yang santun namun dijernihkan ia dengan setiap tingkahlaku juga pendiriannya yang romantis dan beliau tidak lagi sekadar menyuarakan hasrat hati di kertas-kertas dan pena basah melalui lewat-lewat karyanya seperti Adik Datang, Sungai Mengalir Lesu dan Langit Petang serta pelbagai karya lain.

Beliau seorang yang tidak petah berbicara sejak dari kecil dan juga bukan seorang yang begitu cemerlang dalam pelajaran semasa di zaman sekolah. Katanya kepada saya selepas aksi unjuk rasa Bersih 5.0 di sebuah restoran sekitar Bangsar. “Bapak dulu, hanya peroleh bintang satu..” Lalu dia ketawa sambil menunggu mi gorengnya tiba. “Bintang itu, tangga ukur bagi membolehkan pelajar naik ke satu tahap lagi. Jika peroleh cuma satu tidak bisa. Tapi bapak banyak belajar sendiri-sendiri.”

samad-said
Penyair A Samad Said

Merujuk sebuah tulisannya dalam buku Kumpulan, Esei Budayawan Bertindak Menyokong Perjuangan A. Samad Said, beliau mengakui sendiri, gelaran “Dr” yang diterimanya tidaklah setulen gelaran “Dr” yang ada pada Dr. Anwar Ridhwan, yakni seorang intelektual berbanding beliau yang membesar secara “streetwise”. Tidak tulen di sini merujuk bagaimana beliau membina sebuah keintelektualannya secara rialitas melalui lorong-lorong kehidupannya yang sentiasa meresahkan seperti zaman perang, zaman rusuhan dan zaman penuh korupsi seperti sekarang.

Tetapi siapa kan pernah menduga, kegagalan lalu, kesukaran berinteraksi dan pelbagai halangan lalu bisa merubah segalanya. Kini karya-karya seniman rakyat ini seolah peluru hidup yang senantiasa mengintai mangsanya yang leka dalam khayalan-khayalan kebejatan. Pernah ditahan dan disiasat bawah seksyen (bagian) 4 (1) (b) di bawah akta hasutan 1948 dan seksyen (bagian) 27 (5) akta polis 1997 berhubung pengucapan puisinya di majlis/pertemuan pembukaan Bersih 2.0 pada 19 Jun 2011, membuktikan bahwa pesannya “suara tanpa tindak, itu bukan suara” kepada saya tiga tahun lalu terus diperjuangkan beliau hingga ke hari ini meskipun usianya kini telah lanjut.

Barangkali juga, tidak ramai yang tahu. Di usia yang tersisa yang diisinya dengan perjuangan-perjuangan bersama murba dia mengakui bahawa enam hari dalam seminggu banyak terisi juga di masjid.

Ketakutan pemerintah pada suatu ketika dahulu dengan renda abjad dan tutur bersih serta halus petahnya [tutur bicara fasih] berpuisi tetap utuh dipegangnya. Bersama panas bahang dan sejumlah murba berbusana kuning dia berbicara:” bapak sedang menyiapkan buku yang dalamnya sejumlah 200 buah puisi, merekam iklim siasah/politik kita sejak awal penglibatan bapak di dalam Bersih. Di mana puisi-puisi tersebut akan dikenang sebagai sebuah cerminan sejarah siasah.”

Beliau juga selalu menasihati saya, jika berkarya seharusnya menjadi perekam. Merekam peristiwa, siasah/politik dan sejarah. Supaya tidak hilang apa yang kita bakal tinggalkan.

Ya, hingga di usia sekarang, seorang tua ini tidak pernah kesal dan sesal apalagi mahu merehatkan [mengistirahatkan] diri. Perjuangan menghapuskan rasisme diserlahkan [tampak nyata] beliau melalui perlibatannya di dalam siasah/politik tanah air apabila mengesahkan secara terang-terangan ke dalam sebuah partai yang majoritinya daripada kaum Cina [Tionghoa]. Barangkali inilah pengorbanan seorang tua kepada bangsa dan tanah airnya, sebuah pembuktian yang mengajak setiap bangsanya supaya tidak terus-terusan jatuh ke lembah perkauman [rasisme] yang mana akhirnya akan merosakkan bangsa itu sendiri dan tanah airnya. Sesuai seperti apa yang digelar ‘Perwira Ubah’ oleh penasihat parti [pimpinan partai] tersebut.

“Seorang penulis tidaklah berjawab dengan tulisan sahaja, mesti ada aksinya,” katanya di sebuah petang di Galeri R A, Kuala Lumpur, beberapa tahun lalu dalam sebuah acara. Maka perlawan dan perjuangan beliau bukan sekadar di atas kertas dan di hujung pena basah serta di jalanan, perlawanan-perlawanan ini seiring juga dengan ketegasan sikapnya apabila pada tahun 2008, beliau menolak kembali dan tidak mahu lagi digelar sasterawan negara dan selesa digelar sasterawan rakyat. Barangkali ini adalah sebagai aksi protesnya kerana kerajaan [negara] pada masa itu di bawah jabatan pendidikan sudah meminggirkan karya-karya sasterawan negara sebagai bahan bacaan KOMSAS [komponen sastra?] dan itu adalah pembelotan terhadap kesusasteraan apabila bahan sastera tidak lagi dihidangkan dengan sekualiti mungkin.

“Ahli politik ini ada usia luputnya. Kuasawan ada tarikh luputnya. Sasterawan, kerana tidak ada tarikh luputnya, dia akan terus berlawan,” begitu kata-katanya itu, pada November 19, 2016. Dengan capal usangnya bersama isteri di samping, demi sebuah kelestarian siasah, masa depan tanah air dan tanggungjawab sebagai seorang sasterawan (rakyat), semurni gerak beliau membenarkan ucapan tersebut. Di tengah-tengah puluhan ribuan murba, beliau turut sama merasa; di unjuk rasa Bersih 5.0 Kini, seorang tua bernama A. SAMAD SAID sedang membajak [menyemai] revolusi di tanah perkebunan dan sampai masanya kita anak semua bangsa akan menikmati hasilnya.

Arafat Hambali, penulis dan sastrawan Malaysia. Alumnus UiTM Shah Alam ini sudah menghasilkan banyak karya, antara lain:  Puisi Jadi Senjata, 2011. Puisi Jadi Senjata, Demokrasi Terdera 2012, Dia Ida, 2014. Nak Jadi Thukul 2014, Rumput Kuning, 2014, Trisula Kata Dari Daerah M,2014. Kita Semua Ayah Halim, 2015, Kepak-kepak Malam Dari Sorga, 2016.

Catatan: kata di dalam […] sekedar untuk memudahkan pembaca di Indonesia untuk memahami maksud kalimat, tanpa menghilangkan esensinya.

Apa reaksi Anda atas artikel ini?
  • Terinspirasi
  • Senang
  • Sedih
  • Marah
  • Tidak Peduli
  • Takut